Powered by Blogger.

Sunday 30 June 2013

Sekitar Seminar Kajian Tindakan Peringkat Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan

Seminar Kajian Tindakan Peringkat Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah dijalankan di Politeknik   Port Dickson pada 27 Jun 2013 yang lalu. Seminar ini dianjurkan bersama oleh Sektor Pengurusan Akademik, JPNS, Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik, PPSMNS, dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, MPSMCNS.


Sebanyak 21 kertas kajian tindakan telah dibentangkan dalam seminar kali ini, 18 dibentangkan dalam dua pembentangan selari dan 3 kertas kajian tindakan dibentangkan dalam pembentangan utama. Pembentangan selari sesi 1 bermula jam 9.00 pagi hingga 10.30 pagi manakala pembentangan selari sesi 2 bermula dari jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengahari.

Pembentangan oleh Encik Azmi bin Mohd Jani
Pembentangan utama bermula jam 2.30 petang hingga 3.30 petang dimulakan oleh Puan Noraini binti Kassim, Guru Cemerlang Matematik Gred Khas C dengan tajuk Lencana Swastika dan Kertas bersama Dam ICPOR, diikuti oleh Puan Hajah Zabedah binti Khalid, Guru Cemerlang Biologi dari SMK SHAMS dengan tajuk Teknik My Lovely Fingers, satu kaedah untuk menguasai topik Cell Division. Untuk makluman pembaca kertas kajian ini telah dibentangkan oleh Puan Hajah Zabedah dalam seminar antarangsa di Chiang Mai, Thailand pada tahun 2012 yang lalu. Kertas kajian tindakan ketiga dibentangkan oleh Encik Azmi bin Mohd Jani, Guru Cemerlang SK Senawang bertajuk meningkatkan Kemahiran Sifir dalam Kalangan Murid-murid Tahun 5 yang Sederhana Penguasaannya di SK Senawang.

Ucapan perasmian penutup oleh Tan Sri Haji Mohd Isa
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa bin Dato' Haji Abdul Samad, Ahli Parlimen Jempol merangkap Pengerusi Felda. YB telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM9000 bagi tujuan melaksanakan seminar ini kepada Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, MPSMCNS.

Thursday 30 May 2013

Seminar Kajian Tindakan Negeri Sembilan 2013

Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Negeri Sembilan atau ringkasnya PPSMNS akan mengadakan Seminar Kajian Tindakan Negeri Sembilan pada tarikh tentatif 27 Jun 2013 bertempat di Politeknik Port Dickson. Seramai 23 orang pembentang kertas kajian tindakan dalam pelbagai bidang mata pelajaran terutamanya Sains dan Matematik akan membentangkan kertas kajian tindakan masing-masing dalam tiga sidang selari. Semua Guru Kanan Mata Pelajaran Sains dan Matematik dijemput hadir.